Thursday, July 25, 2013


#MENCARI TITIK PERMULAAN
Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua saya masih dapat bernafas. Dengan kasih sayang-Nya jua seluruh makhluk di muka bumi masih terus bertasbih kepada-Nya. 

Di sini ingin saya kongsikan serba sedikit tentang pandangan saya berkenaan pencarian titik permulaan...yang akhirnya membawa kepada titik perubahan dengan izin-Nya. 

Pernahkah sahabat-sahabat mendengar cerita tentang pemotong kayu dengan kapaknya? Bagi yang tidak mengetahuinya, suka untuk saya ringkaskan cerita tersebut. 

Seorang pemotong kayu setia dengan tugasnya memotong kayu saban hari. Setiap hari hasil kayu yang dipotong meningkat dengan bilangan hari. Barangkali kejayaan ini berpunca dari pengalaman yang bertambah seiring usia. 

Namun, si pemotong kayu mendapati pada suatu hari yang dia memerlukan lebih masa untuk mendapatkan hasil potongan kayu yang sama. Dicubanya juga untuk terus memotong, namun, hasilnya hampa. Cuma penat dan peluh yang membasahi bajunya. 

Akhirnya, dia duduk termenung..bila difirkan kembali, bukan isu pengalaman yang menjadi punca kegagalan dia mendapat hasil kayu yang banyak, tetapi kegagalan dia untuk berhenti dan berfikir menjadi penghalangnya untuk berjaya...iaitu kapak yang semakin tumpul. 

Ya, berfikir untuk mencari titik permulaan yang membawa perubahan besar. 

Mencari punca 

Pada pendapat saya, kadang-kala kita sering terlupa isu kecil yang berlaku di sekeliling kita boleh menjadi faktor penghalang kejayaan kita. Seperti cerita di atas, kegagalan untuk mengasah kapak menjadi punca si tukang kayu kurang penghasilannya. Bagaimana kita? Sudahkah diasah nilai kecil yang mungkin signifikan buat kita? 

Ingin saya memberi contoh dengan melihat kepada aspek kebahagian hidup. Berapa ramai antara kita yang mencari bahagia? saya yakin pasti jawapannya ramai. Tapi, pernahkah kita menilai apakah aspek dalam diri kita yang menghalang kita dari bahagia? 

Teringat saya pada tazkirah yang diberi oleh Prof Muhaya di radio IKIM: 

"Bahagialah dari dalam dan hasilnya akan terlihat di luar. Bahagialah dengan Allah. Jangan mencari bahagia dari luar"

Jelas di sini, dengan menjadikan material sebagai ukuran bahagia menjadikan kita manusia yang tidak pernah puas, lantas tidak bahagia. Duit, pangkat, harta, kecantikan...semuanya fitrah manusia. Kadangakala-kala perkara-perkara ini menjadi keperluan dan kebanyakan masa kita meletakkannya sebagai kehendak. 

Titik permulaan...titik penentu 

Saya pasti kita semua pernah melihat pertandingan larian. Sama ada jarak dekat atau jauh, semuanya bermula pada tidak permulaan yang sama. Namun, setiap peserta larian punya visi, motivasi dan kekuatan yang berbeza. Tapi akhirnya, hanya ada satu titik penentu iaitu garis penamat di hujung trek. 

Begitu jugalah kita sebagai manusia, kita ada seribu satu titik untuk dipilih. Setiap satunya datang dengan cabaran untuk menguji keimanan. Tinggal kita untuk memilih titik mana yang mampu mengubah mimpi jadi realiti. 

Jadi saya menyeru diri dan sahabat-sahabat semua untuk: 

1. Mencari apakah pushing factor yang mampu menjadi titik permulaan kita untuk berubah ke arah kebaikan. 

2. Tetapkan titik penentu dalam setiap permulaan kita. Yang pastinya mardhatillah juga menjadi ultimate goal kita. 

3. Gerakkan diri dan persekitaran untuk berubah sama ke arah kebaikan. Sebarkan kebaikan, moga dengan izin Allah ia mampu membentuk masyarakat yang cemerlang. 

4. Teruskan mengasah "kapak" anda. Andai tiada "pengasah", rujuklah pada pakarnya. Banyakkan bertanya pendapat orang yang faqih dan carilah ilmu sebagai pemangkin anda. 

5. Mohon petunjuk dari Allah. Hakikatnya Dia jugalah penggerak hati kita, maka selayaknya kepada Allah kita mengadu dan berharap. 

6. Teruskan bahagia dengan Allah. Rasakanlah kesyukuran itu sebagai penguat terbaik kita untuk terus berusaha. 

D + U + I + T

Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal...itu penutupnya. Moga Allah redha dengan titik permulaan yang kita pilih. Moga diberi petunjuk terbaik buat kita semua. Apa lagi ditunggu? carilah titik itu...mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim. 

#MANA MAK ?
"Sebelum baca, sila sediakan Tisu" 

Jam 6.30 petang. 

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama. 

Ayah baru balik dari sawah. 

Ayah tanya Mak, “Along mana?’ 

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.” 

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?” 

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.” 

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?” 

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?” 

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?” 

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.” 

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika. 

Dua puluh tahun kemudian 

Jam 6.30 petang 

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari. 

Ayah tanya Along, “Mana Mak?” 

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.” 

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?” 

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.” 

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?” 

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. 

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" 

Ateh menjawab, “Entah.” 

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah. 

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?” 

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu. 

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. 
Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu. 

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak. 

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?" 

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!” 

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik. 

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka 
di depan pintu. 

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika. 

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?" 

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . 

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut. 

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan. 

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya. 

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak 
yang ini. 

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. 

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham. 

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh 
koci kamu ni." 

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak. 

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur. 

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan 
hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi. 

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. 

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu. 

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam. 

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. 

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat." 

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak. 

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” 

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak. 

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. 

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak. 

Beberapa tahun kemudian 

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”. 

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.” 

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit. 

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. 

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu. 

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat. 

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak. 

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.. 

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai. 

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah, 

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya. 

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" " 

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal." 

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.. 

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?" 

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia. 

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab 

~ saya sayang ibu saya Smile 
~ untuk renungan kita bersama

#MASAALAH ITU SEBENARNYE ...
Setiap manusia ada masalah. Kecil mahupun besar, tapi, bagaimana kita hadapi masalah itu?. Soalannya juga kenapa masalah itu selalu hadir dalam hidup kita? Kita rasa sesak dengan masalah. Kita rasa susah dan gelisah. Hidup kita jadi huru-hara dengan masalah. Mengapa masalah perlu ada? Masalah menguji kita agar bersabar. Masalah menyuruh kita cari penyelesaiannya. Masalah mengajar kita hidup yang sebenar. Paling penting masalah merapatkan kita dengan Allah. 

Setiap masalah perlulah diajukan semula kepada Allah kerana Allah jualah yang akan memudahkan kita menghadapinya dan Allah jualah yang akan menunjukkan kita jalan penyelesaiannya. Tanpa Allah, semua masalah akan jadi payah dan merumitkan. Kemungkinan juga masalah yang kita hadapi tiada jalan keluarnya. Seterusnya, masalah itu membebankan jiwa dan mengakhiri nyawa. 

Seorang hamba yang mengaku Allah sebagai tuhan sekalian alam akan menceritakan masalahnya hanya kepada Allah. Allah maha kuasa atas tiap sesuatu tidak kira yang kecil mahupun besar. Hatinya yakin Allah akan menolongnya dan mengeluarkan dirinya dari masalah yang sedang dihadapi. Secara automatik, mindanya terbuka cara menyelesaikan masalah itu dan tanpa dia sedar masalah itu telah diatasi dengan sendiri. 

Masalah perlu dihadapi dengan tenang dan jangan menyangka yang bukan-bukan. Setiap masalah pasti ada cara penyelesaiannya. Cuma kita belum nampak dengan jelas. Berdoalah kepada Allah agar menolong kita keluar dari masalah yang dihadapi. Yakin kepada Allah sahaja dan apabila jalan telah terbuka, berusahalah untuk menghilangkan masalah itu. 

Ingatlah masalah adalah rencah hidup. Ia ibarat garam dalam masakan yang menyedapkan hidangan. Tanpa masalah kita tak kan mengenal diri kita dengan lebih dalam, tanpa masalah kita tak tahu bahawa Allah menyayangi kita dan tanpa masalah kita tak mungkin dapat menikmati kebahagiaan menyerah diri kepada Allah. Masalah sebenarnya mematangkan kita menghadapi masa depan. 

#BILA TIBA BULAN PUASA
Apa bezanya pada hari dibulan puasa dengan sebelas bulan yang lain tentang mata, hati, telinga, dan mulut. Adakah terkawal atau hanyut dengan nafsu? Jom layan sajak ni… 

Bila tiba bulan puasa
Semua menjaga kata
Cakap bila perlu sahaja
Yang lain diam tanpa bicara
Tunggu habis puasa
Segala cerita semua ada
Dari bubur lambuk basi di awal puasa
Sampai langsir jiran habis dicerita.

Bila tiba bulan puasa
Semua menjaga mata
Memandang perkara molek dan mulia
Pejam rapat bila ada yang mengurangkan pahala
Habis sahaja bulan puasa
Mulalah liar sang mata
Mencari yang terdedah sini sana
Sampai terkeluar bijik mata.

Bila tiba bulan puasa
Semua menjaga telinga
Dari unsur fitnah dan mengata
Tak endah tak ambil kira
Walau diri membuak-buak nak tahu cerita
Bila tiba hujung bulan puasa
Mula kembali mencari berita
Segala khabar berdesup masuk ke telinga

Bila tiba bulan puasa
Semua menjaga hatinya
Tinggalkan segala buruk sangka
Walaupun diri sendiri menjadi mangsa
Masih mamapu mengukur senyum di muka
Bila dengar takbir bergema
Hati dan nafsu mula berkuasa
Habis amalan baik di bulan puasa
Kini tinggal amalanyang biasa-biasa

Bila tiba bulan puasa
Segala amalan baik belaka
Ditinggal habis amalan kutuk mengata
Pandangan mata, mendengar cerita dan berkata
Semuanya terpelihara di bulan puasa
Quran dan hadis habis semua dibaca
Semua jiran diajak berjemaah bersama
Bila habis sahaja bulan puasa
Adakah perkara baik diamalkannya sama
Atau pergi berlalu bersama bulan puasa.

Wednesday, July 24, 2013



#KENAPA AURAT WANITA LEBIH BANYAK DARI AURAT LELAKI ?
Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka. 

"Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak." 

"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak." 

"Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!" 

"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!" 

"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?" 

"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?" 

"Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?" 

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. 

Kaum lelaki pula cakap, "Ah, mujur aku ni lelaki!" 

Tunggu..! 

Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah. 

"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? 

Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? 

Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!" 

"Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!" 

"Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. 

Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!" 

"Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah... itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!" 

"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!" 

"Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!" 

"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!" 

Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia. 


#PILIH JODOH BERTUDUNG ATAU YANG MENUTUP AURAT ?
"Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung!" 

"Haa? Kenapa?" 

"Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat." 

Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki. 

Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga. 

Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna. 

Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat. 

Hayati kembali perintah Allah ini; 

ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.[33:59]

Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan. 

Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudung pun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya. 

"Cerewet sungguh orang-orang mukmin!" 

Ya.. memang cerewet! Hehee.. 

Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih. 

Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari. 

Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ; 

"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah SAW menjawab, 

"Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."[Riwayat Abu Daud dan Nasai]

Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat di khalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri? 

Cuba fikirkan sejenak.. 
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga. 

"Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milih pun tiada guna." 

Ya.. jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya. 

Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Itu janji Allah!

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)."[24:26]

Maka, sebagai wanita.. 
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna. 
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan Rasul-Nya. 
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita, 
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah.. 
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.